Muharrikdaie

Menulis untuk mengerakan jiwa jiwa

Sekali sekala kembali

Lama sangat aku tak menulis panjang tentang usrah. Ya, usrah yang menjadi qorin aku sejak sekian lama.

Usrah ni bagus. Tempat kita mentarbiah diri menjadi alim bertakwa. Tempat kita membina circle pendakwah. Tempat kita merancang dan membina adik-adik dakwah menjadi pendakwah. Tempat kita berukhwah. Tempat kita mempraktis sunnah. Dari makan dalam talam, pakai serban, pakai kayu sugi, berwangi-wangian ditaman syurga dunia, berpeluk-pelukan waktu bertemu dan berpisah. Indah.

Namun usrah tidak memadai begitu tanpa kita upgrade ilmu. Jika seseorang hanya mengharap usrah untuk memahami deen ini dan untuk menimba ilmu islam, itu fikrah yang salah.

Terkadang didalam usrah sendiri pun kita lihat ramai yang jahil fardhu ain. Tauhid pun tak belajar secara formal, begitu juga feqah dan tasauf. Sebab itu banyak kita lihat bila individu-individu usrah ini pergi ke tengah masyarakat mereka tidak tahu apa yang mereka nak deliver kepada masyarakat kecuali mengajak masyarakat bergabung dalam jemaah mereka. Isi borang masuk jemaah dan usrahnya rutin setiap minggu tanpa peningkatan. Ini salah.

Kalau kita lihat, Albanna murabbi dakwah kita, bila berdakwah ditengah masyarkat, beliau menceritakan tentang islam. Bagaimana nak memahami islam. Kemudian bercerita iman yakni tauhid yang sejati dan benar, ibadah yang dimulai dengan ilmu kemudian diiring dengan meninggalkan perbuatan syirik dan sebagainya.

20 tahun aku berada didalam tarbiyah harakiah ini sejak zaman student, banyak aku belajar tentang betapa pentingnya seseorang individu yang berada dalam usrah itu perlu mengutamakan ilmu fardhu ain dan lainnya untuk meneruskan agenda dakwah ini untuk menutup kejahilan umat yang merantai generasi ini. Apalagi dalam masaalah akidah.

Kini aku lihat usrah sudah menyejuk. Usrah bagai berada dilautan yang kering yang tidak boleh dilayarkan bahteranya lagi. Tiada lagi selipar yang banyak bersusun dihalaman rumah setiap minggu. Jemaah- jemaah dakwah pun dah beralih menyokong dan menjadi proksi parti -parti politik. Umat semakin bersengketa. Tiada lagi ukhwah. Apalagi itsar. Panjang nak cerita.

Namun aku tetap bertahan. Sekali pun circle yang kecil, usrah tetap berjalan. Tarbiah tetap mengalir. Mad’u- mad’u tetap aku hidangkan dengan sajian ilmu-ilmu alat dan fardhu ain untuk bekal dakwah mereka. Pesan murabbi dulu tetap aku pegang. Bergeraklah atas kemampuan.

Ya, aku bergerak diatas kemampuan aku dikala usia aku merangkak tua. Sekalipun kawan-kawan dah berjaya dengan bisnes, dengan kerjaya dan anak pinak, kaya raya dengan rezeki Allah. Aku tetap seperti dulu.

Setiap minggu menyinggahi rumah sahabat-sahabat yang inginkan bimbingan dan tarbiah serta dahagakan ilmu.

Aku akui, aku sunyi. Sahabat-sahabat otai dakwah yang sama-sama berlari dipadang tarbiah dulu sudah sampai kegarisan cita-cita hidup mereka. Hidup yang nyaman dah bahgia dalam pelukan dunia. Biarlah mereka. Namun aku belum lagi. Walau tak mampu berlari laju, aku tetap berjalan, berhenti mengambil nafas, mengesut. Aku tahu satu hari aku akan sampai juga kegarisan. Walau dalam samar-samar malam, cita-cita aku menunggu aku di sana.

#muharrikdaie

Aku Rotterdam dan Sumarni (Bahagian 1)

Dulu, lama dulu, waktu aku tinggal di Rotterdam aku pernah bercinta dengan seorang muslimah berhijab. Sumarni namanya! Orang Indonesia berbangsa jawa. Dia belajar di Erasmus University di Rotterdam. Diatas biasiswa kerajaan Belanda.

Dia cuma belajar setahun saja untuk Masternya. Mula mula kami berkawan biasa saja. Maklumlah di Rotterdam ni jarang ada student muslim. Kalau ada pun bukan dari Malaysia. Student Indonesia ramailah tapi kebanyakannya beragama kristian sebab kerajaan Belanda lebih banyak menaja pelajar kristian dari pelajar muslim Indonesia. Biasalah tu.Jadi Sumarni ni tak ada kawan yang beragama islam. Apa lagi kawan perempuan muslimah. Jadi akulah kawannya walau berlainan jantina. Dia tinggal di sebuah rumah sewa bersama sama student non muslim yang sama negara dan study dengannya tetapi bercampurlah lelaki dan wanita didalam satu rumah tapi berlainan bilik. Maknanya satu bilik seorang. Ini perkara biasa bagi student luar sebab di Rotterdam ni amat susah nak cari dan pilih rumah sewa yang sesuai dengan taste kita malah sewanya amat mahal. Nak masuk satu satu rumah sewa pun bersyarat. Syaratnya kena di interview oleh tuan rumah. Kalau mereka suka, mereka akan terima kita. Jika tidak kita akan terpaksa mencari rumah yang lain.

Kebanyakan rumah rumah sewa di Rotterdam ni, tuan rumahnya meletakan salib di sekitar dinding bilik sewaan mereka dan tidak dibenarkan dialih. Macam kitalah yang meletakan ayat suci didinding rumah. Mungkin kepercayaan mereka dapat protect rumah mereka dari hantu syaitan. Jadi dalam bilik Sumarni ini pun bersepah dengan salib sana sini. Begitulah azabnya mental student student muslim untuk belajar disini.

Memandangkan kawan kawan muslim tak ramai, lama kelamaan perhubungan kami rapat. Itu pun sejak dia diganggu didalam Tram oleh lelaki mabuk waktu mula mula dia sampai di Rotterdam dan tak tahu nite life di sana. Maka waktu itu akulah hero penyelamatnya. Sejak itu setiap hari Sumarni meminta aku untuk menemaninya pulang. Apa lagi kalau perubahan musim dan cuaca yang waktu malamnya lebih panjang dari waktu siangnya dan dia terpaksa balik diwaktu agak gelap. Kalau korang nak tahu, di Rotterdam ni bandar nya kecil saja, tapi aktiviti maksiat nya mashaAllah. Apa lagi di waktu malam. Bandar di penuhi dengan makhluk gila. Mabuk arak, mabuk dadah, mabuk seks, bapok, lesbian, homo seksual dan pelbagai maksiat lagi. Wanita wanitanya pula terkadang relaks saja berjalan topless di lorong lorong awam disana. Kalau bertembung, pasti kita yang acah acah alim ni menunduk malu, walau pun jeling jeling sikit tu tetap ada. Memang tak boleh nak tipu. Jadi lebih baik jangan keluar malam untuk mengelak mata syurga kita ni cepat kabur sebab melihat gunung ganang yang berapi panasnya.

Dijalan jalan raya pula botol botol arak bersepah pecah disana sini. Siren polis berbunyi bertali arus menandakan ada kes jenayah atau pegaduhan yang kerap berlaku. Memang takut night life di sana. Itu dulu. Tapi sekarang aku tak tahu. Namun, aktiviti siangnya tiada masaalah. Seperti di Malaysia juga. Hidup seperti biasa. Normal. Kita takkan jumpa orang yang pelik pelik macam di waktu malam. Ofis, Kedai kedai, supermarket dibuka dan dipenuhi manusia bershopping tapi sehingga jam 5 petang sahaja. Sekali imbas nampak macam bandar Rotterdam ni tak ada apa apa berlaku siang atau malamnya. Tapi awas jangan sesekali keluar waktu malam kerana bandar yang tenang di waktu siang ini akan mula berubah menjadi bandar drakula waktu mentari melabuhkan cahayanya.

Memang agak menakutkan bagi wanita juga bagi lelaki yang tak biasa dengan social life yang keterlaluan ini! Termasuk lah aku. Di Rotterdam semua aktiviti pengedaran dadah, ambil dadah, arak dan pelacuran dibolehkan disisi undang undang Belanda tanpa sekatan. Bayangkan! Jika seorang lelaki muslim yang imannya tidak kuat dan pegangan agamanya longgar. Nescaya akan hanyut dalam lautan nikmat maksiat ini tanpa rasa takut dan gerun sebab tiada siapa yang menghalangnya. Bebas sebebasnya!

Berbalik kepada cerita cinta kangaroo aku ni. Aku taklah pernah meluahkan apa apa perasaan terhadap Sumarni kerana aku ni pemalu dan penakut sikit dengan perempuan walau pun perasaan suka aku pada Sumarni ini meluap luap macam asap keretapi arang zaman koboi dulu. Namun sejak kehadiran keluarga Sumarni menziarahi Sumarni suatu tika lalu maka berlakulah episod kenal mengenal antara ibu dan ayahnya dengan aku. Ayahnya amat berterima kasih pada aku kerana selama ini aku telah membantu menemani dan menjaga keselamatan anaknya pergi balik kelas dari University nya.

“Terima kasih ya nak kerana sudi menjaga dan menemani Sumarni setiap hari. Bapak benar benar risau keadaannya di sini.” Begitu kata ayah Sumarni kepada aku saat kami makan di restoran turki di bandar Amsterdam sewaktu membawa orang tuanya melihat Tulips di Kiukenkorf dan naik train keBrugge, Belgium untuk melihat bandar tua yang indah sambil makan coklat yang sedap disana.Waktu dapat penghargaan ayahnya itu, aku rasa bahgia sangat. Kembang hati aku macam kembangnya bunga tulips. Sejak itu dan hari seterusnya aku kerap senyum sorang sorang tanpa sebab. Walau aku dapat pujian dan kepercayaan ayah Sumarni, aku tetap tak berani meluahkan apa apa perasaan pada Sumarni. Aku cuma menunggu respon dari Sumarni saja. Kalau ada, adalah. Kalau tak ada, tak adalah! Namun rezeki aku datang jua tanpa aku menunggu lama. Dua minggu saja. Ngam ngam.

Mal, ayah aku berkenan sama kamu.” Kata Sumarni pada aku waktu kami berjalan slow motion menghala kekelas nya.

“Benarkah?” Balas ku. Waktu itu aku berhenti. Buat buat terkejut. Sumarni pun berhenti berjalan. “Benar sekali.” Ujar Sumarni. Sambil mengukir senyum. Aku diam saja. Dalam hati aku hanya Tuhan saja yang tahu betapa ‘alhamdulillah’ nya. Aku zikir 33x alhamdulillah macam zikir lepas semayang bila dapat berita itu.

Kamu bagaimana?” Tanya Sumarni. “Aku ok saja.” Ujarku.

“Ok bagaimana? Kamu suka aku?” Sumarni terus bertanya.

“Suka. Tersangat suka.” Aku jawab tanpa rasa malu. “Tapi … 99% saja.” Aku menyambung sambil ketawa kecil.

“Lucu kamu ini. Kenapa tidak 100%.” Sumarni bertanya aku manja.

“1% itu untuk saya simpan andai kamu tinggalkan saya nanti.” Ujarku dalam gurau manja. Sumarni ketawa. Manis. Waktu itu aku rasa lebah lebah madu berterbangan mengelilingi aku.

Hubungan kami berterusan tenang dan syahdu tapi tidaklah bercouple dan berkepit kesana sini macam belangkas sebab masing masing tahu batas dan larangan agama. Malah keluarga Sumarni adalah dari keluarga beragama. Bukan yang biasa biasa alimnya.

Aku bersama Sumarni cuma rutin seperti selalunya, menemani dan menghantar Sumarni pulang setiap hari. Selepas itu kami dengan aktiviti kami masing masing. Waktu selepas menghantar Sumarni pulang pun, tak adalah aku tinggalkan ucapan goodbye atau miss you atau love you dan kata kata romantis lain nya. Hanya ucapan Sumarni, “Ketemu esok ya?

Itulah ucapan setiap hari selepas menghantar Sumarni pulang selama 365 hari. Mungkin itu ucapan biasa Bangi orang lain tapi bagi aku itulah ucapan penganti Love you, see you tommorow’.

Cinta. Rasa bunga bunga. Wangi wangi. Cita cita. Perasan. Semuanya hanya terpatri di layar hati aku saja. Hati Sumarni aku tak tahu dan tak pernah tanya. Mungkin ada kot! Tapi aku selalu rasa macam dia tak ada perasaan. Dingin.

Selepas setahun, Sumarni habis belajar. Dia pulang ke kampungnya di Surabaya. Waktu itu aku sedih sangat. Hampir jugalah aku nak menitiskan airmata jantan ku di airport Schipol. Tapi aku tahan juga sebab aku lihat Sumarni relaks jer. Macam tak ada apa apa. Hati aku yang emo tadi pun bertukar keras kembali.Tapi sumpah, aku sunyi bhai! Hampir seminggu juga aku termenung di tepi canal canal indah di sekitar Rotterdam sambil memakan ‘Patat’ iaitu kentang goreng untuk hilangkan rasa sunyi. Banyak juga batu aku baling dalam canal canal tu.

Waktu aku menghantar Sumarni di airport, aku berjanji untuk melamarnya. Dia berjanji untuk menunggu aku. Ayah dan ibunya pula dah lama bersetuju untuk menerima aku. Hati aku berbunga dan berbuah ranum. Itu teori indah nya hubungan aku dengan Sumarni.Setelah Sumarni pulang, kami terus berhubungan ditelefon walau tidak kerap. Lepas enam bulan Sumarni bertanya, bila untuk melamarnya. Aku jawab tunggu. Lepas setahun, dia bertanya lagi. Aku kata, tunggu. Sehingga dua tahun dia menunggu aku. Dan saat itu aku pula pokai dan menghadapi masaalah keewangan yang teruk. Aku ceritakan pada Sumarni masaalah aku. Dia hanya diam. Waktu itu aku dah dapat rasa akan berakhirnya perhubungan aku.

Akhirnya, suatu hari dia menelefon aku dan mengatakan dia terpaksa bernikah di atas pilihan ayahnya. Aku diam. Dia pun diam. Aku pun tak tahu saat itu dia sedih ke atau gembira sebab aku tak nampak dia. Suara dia pun biasa saja. Tak adalah macam suara parau parau macam orang nak nagis.Aku pulak, tak tahu nak gelak ke atau nak menangis sebab kepala aku hanya ingat masaalah susah aku.Waktu itu aku tak terkejut. Sebab aku tahu pengakhiran cerita hidup orang yang bercinta dan berjanji jarang sukses nya. Hanya dalam drama bersiri waktu maghrib saja yang ada happy ending

Sebenarnya Allah telah susun cerita hidup manusia ini hampir sama saja. Cuma jalan cerita kita saja berbeda beda. Tapi proses hidup tetap sama!Dimana mana pun kamu akan temui cerita dan kisah begini. Pointnya, adalah Allah pasti uji kita dengan emosi kita. Sedih, derita dan kecewa. Dan disisi lain Allah tunjukan kita dengan natijah ujiannya yang berakhir dengan gembira, ketawa sehinggalah kita berubah fasa hidup seterusnya. Manakala setelah hidup berkawin pulak, Allah uji lagi dengan perceraian, pergaduhan, kecurangan dan sebagainya. Kemudian Allah beri jalan keluar kembali. Justeru, Bila dah tua pulak, akan ada pula Allah uji dengan anak durhaka, mak ayah di tinggalkan dan berbagai lagi kesukaran kehidupan manusia. Itulah dunia. Allah pusing pusingkan antara ujian dan jalan keluarnya untuk menjadikan kita matang dalam mengenali Allah yang pengasih dan penyayang.Apa yang pasti, bila di akhirat nanti kita akan temui juga cerita cerita benar seperti yang Allah firmankan dalam alquran seperti azab azab di neraka dan nikmat nikmat di syurga yang mana di sana nanti jalannya tidak seperti didunia.

Jalan didunia kita boleh pusing dan u turn tapi diakhirat jalan nya jalan sehala.Pendek kata, sekarang ini pun kita berjalan dan hidup dari TAKDIR Allah yang telah disusun sejak azali lagi. Kita tidak tahu takdir kita akan datang. Maka berjalan lah kita terus. Andai diuji dengan keburukan, Sabar lah kita. Andai diuji dengan kebaikan, Syukurlah kita.Kedua duanya ada hikmah kebaikan.

Bersambung

Aku dan kenangan

Malu untuk bercerita kisah lalu. Namun untuk kamu adik adik perantauan yang sunyi dan tertekan, mungkin ini dapat melonggarkan tekananmu. Aku juga seperti kamu dulu. Namun disitu juga kutemui saripati hidupku. Ku hirup dingin udara dibumi Amsterdam yang terkadang kubungkus diri dari diterkam angin yang jahat tika suhu jatuh keparas minus dan ditika aku mendaki puncak tentangan, menerjang batu granit kesulitan, mengoda ujian demi ujian untuk memecahkan kehidupan silam. Ku harungi salju yang putih yang berjurai turun yang tidak pernah aku gambarkan dapat menadah tangan bermain dengannya. Kini menjadi kenyataan setelah aku bertarung dengan kehidupan dan pelajaran yang amat menyakitkan.

Kiranya jiwa ku tidak keras dan tabah pastinya bumi beriklim sejuk yang kupijak ini hanya berupa mimpi dan igauanku untuk mencari jalan kehidupan yang cerah. Ditengah keputihan dan kesejukan yang tidak pernah aku rasa itu dapat juga ku hirup berupa pengalaman, lalu aku terjun bebas berenang dan menyelam keseorangan liku liku dan belokan belokan tajam perjalanan yang ujung hidup ku tidak dapat disangka.Keputihan salju yang penuh dengan lambang cinta sonata dan kesucian itu mencelikkan mata ku betapa indahnya ciptaan tuhan itu untuk diabadikan. Salju itu membuatkan jiwa ku bertambah lembut dan sayu keseorangan dirantau orang. Namun dimana mana pun dan bila bila pun mungkin aku ditakdirkan keseorangan. Dan keseorangan itu mengandakan cita cita ku untuk pergi jauh meneroka bumi Allah ini mengikut arah bintang gemintang. Mengarungi padang dan gurun. Biar dilepuh matahari atau dilambung taufan dan dibekukan suhu dingin serta dipeluk erat cengkaman angin!

Aku ingin mengetarkan hidup ku lagi mencari keberanian kerana aku tahu aku akan lalui lagi ujian ujian yang mendatang justru pabila melibatkan diri didalam gerakan dakwah yang sememangnya kita tak mampu untuk menepisnya, jika kita tidak melalui hidup yang keras dan lasak!Pun begitu da’i juga seorang manusia. Punya jiwa. Punya kisah silam yang tersorok jauh jauh didasar hatinya!Hidup ini terkadang seperti benturan molekul uranium. Meletup tidak terduga. Menghancurkan mimpi mimpi indah aku.

Berkelana nya aku dinegeri orang mencari kehidupan yang telah lama hilang. Dan aku pergi jauh semata mencari kehidupan mendatang untuk merasa sedikit kesenangan yang sudah tidak ada nikmat lagi setelah sekian lamanya aku dikurung dalam kepedihan dan lumat kesengsaraan sehingga sudah terbiasa Sebenarnya kebahagiaan bagi ku hanyalah kemungkinan kemungkinan dan kebahagiaan yang kita damba dan citakan sebenarnya hanya sebuah khayalan kerana penentu kebahgiaan bukanlah kita sendiri! Betapa aku hambat dan kejar kebahagiaan itu, ia semakin laju meninggalkan aku. Meninggalkan aku dengan sayatan sayatan luka yang sukar untuk sembuh. Persoalan pencarian akan kebahagiaan dikepalaku ini telah menjadi satu filosofi dan memang setelah kita berusaha sekuat tenaga untuk menemukan sesuatu dan hampir mendapatkannya namun bila tiba pada noktah terakhir itu usaha itu gagal, justru sebenarnya itu bukanlah kegagalan tetapi penemuan akan pencarian itu yakni kenyataan.Kita bertemu kenyataan sebenarnya!Kenyataan yang harus dihadapi oleh setiap kita yang mencari sesuatu dalam hidup!Kenyataan itulah penemuan yang tidak ternilai jika kita menerimanya dengan iman yang mendalam!Sebenarnya perjalanan hidup ini harus kita terimanya walau dalam apa keadaan sekalipun kerana ianya banyak membuka rahsia yang tersembunyi didalam dimensi ruang waktu kita.Jalan rahsia yang menghubungkan kita dengan Tuhan. Dengan hidayah. Dengan Dakwah. Dengan Jamaah. Dengan perjuangan. Dan insyaalah dengan syurga Allah.Itulah kenyataan yang manis yang menutupi semua kepahitan kita yang lalu kerana terputusnya cinta yang amat menyesakkan dada. Kehilangan sesorang yang kita kasihi yang ingin menemani didalam mahligai hidup kita, memurungkan kita. Kegagalan didalam exam mematahkan semangat kita. Kemiskinan hidup diatas takdir yang Allah takdirkan menenggelamkan kita dalam kelaparan menyedihkan kita justru membuat kita tidak berdaya. Membuatkan hati kita membiru.Namun pesan orang yang kusayang dulu, meninggakan aku dengan kalimat ” you have to be strong” membuatkan aku bertambah semangat dan kuat menghabiskan usia ini menebarkan kebaikan yang ku miliki. Biarpun waktu itu airmata menepi dipelupukku dan pandangan ku jauh dicelah juraian salju salju itu.Memang kita harus kuat kerana kekuatan itu akan menjadikan kita berani dan tidak berputus asa.Alhamdulillah semua pengalaman pengalaman ini sebenarnya terlalu bernilai dan berharga untuk menjadi bekal di jalan dakwah yang berganda ujiannya ini.Pengalaman jahiliyah kita juga membuatkan kita dapat menghampiri Allah dengan seyakin yakinnya.Dan pengalaman itu membuatkan kita intim dengan Allah bila mendapat cahayaNya. Sememangnya negara salju itu mengajar aku segala galanya hingga ia menjadi bekal untuk aku titipkan dalam kehidupan ku disini. Mungkinkah aku akan kesana lagi untuk menyambung kekuatan yang telah melemah ini …Lemah untuk aku membuat satu keputusan seperti yang disebutkan oleh seseorang kepadaku.Memang aku amat merindui akan salju itu yang mendinginkan jiwa cintaku …

Kelukaan

Mentarbiah manusia tidak cukup hanya sekali tetapi harus berkali kali, berminggu minggu dan bertahun tahun dan ianya memerlukan ruang dan waktu yang panjang.

Terkadang ada yang luka dan terluka. Kadang ada yang rajuk dan merajuk. Kadang ada yang lari dan datang balik. Kadang ada yang lari dan tak datang datang. Kadang ada yang dulu bersifat ‘happening’ tapi setelah mufarakah dan datang balik, ia menjadi pendiam seperti sang sufi yang sedang beruzlah.

Itulah yang selalu kita lihat didalam skrin halakah tarbiah ini. Sebab itu manusia yang menarbiah dan ditarbiah wajib sangat bersabar dan kebal serta tahan lasak!

Dalam waktu yang panjang itu jugalah bukan saja mutarabbi buat silap malah murabbi juga buat silap. Tidak konsisten. Lemah dan futur.

Murabbi pun ada yang ‘lari malam’ kerana stress dan tension dengan sikap mutarabbinya. Kata P Ramlee ini bukan cobaan tapi betul betul. Kerana murabbi juga manusia yang punya keterbatasannya.

Begitulah sukarnya ‘amaliyut tadayyun’ , amaliyah tarbawiyah dan amaliyut takwin itu berjalan sepertimana proses pertumbuhan manusia didalam rahim.

Setiap kita harus ingat, output tarbiah kita bukan untuk menjadikan kita malaikat atau insan kamil tetapi untuk menjadikan kita sebagian manusia yang dapat melaksanakan masuliyah insan dan masuliyah dakwahnya untuk mengisi ruang dan waktu mengislah manusia untuk mentaati Allah.

Justeru, para mutarabbi jangan hanya bergantung kepada murabbi semata. Kamu juga harus berusaha membantu diri kamu dan membantu usaha murni murabbi kita dengan menguatkan tarbiah zatiyah kita untuk merealisasikan kehendak tarbiah dan kehendak ruang zaman yang kita hidup ini.

Ingat, tarbiah kata Muhammad Qutb adalah ‘seni menciptakan manusia’.

Maka kita wajib mentarbiah diri kita dan orang lain dengan memandu ruh, akal dan jasad ini supaya benar benar menjadi manusia akhirat dan menjadi hamba kepada rabbNya.

Barulah kita menepati keseniannya.

Ahukum fillah, Alfakir

#muharrikdaie

Cinta itu sentiasa ada persoalan …

Assalam …

Entah kenapa malam ini aku menulis disini setelah berkurun tidak berkunjung kesini. Sebenarnya tulisan ini berbentuk nasihat yang telah aku muatkan di dalam FB aku untuk seseorang yang amat memerlukan pertolongan aku.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Ada seseorang yang murung bermohon nasihat kepadaku kerana dirinya dikhianati … muga kita juga boleh mengambil iktibar darinya …

Nasihat ku …

Soal ini soal hati. Tiada siapa yang dapat menyelesaikannya kecuali diri sendiri dengan inayah dan bantuan Allah.

Makhluk seperti aku hanya mampu untuk menasihati saja. Itu pun nasihat begini banyak yang telah kita tahu, cumanya cara bagaimana kita praktiskan nasihat itu!

Kawan …
Hidup ini satu proses. Semua orang akan mengalami perkara yang sama. Antaranya cinta kita dan cita cita kita dikhianati setelah kita rancang bersama! Cuma situasi saja yang berlainan.

Jika kamu terluka. Aku juga pernah terluka dan manusia semua dibumi ini pun semua pernah terluka. Cumanya bagaimana kita nak balut luka itu agar sembuh dan pulih saja menjadi persoalannya!

Disinilah kreativiti kita dalam menghadapi hidup dan situasi ini. Dan inilah yang akan menambah pengalaman kita.

Tetapi jika kamu gunakan emosi, maka kamu akan kecewa dan menangis bermalaman berbulanan menghadapinya. Tetapi jika kamu gunakan iman maka kamu akan hadapinya dengan dada dan hati yang lapang.

Sebenarnya setiap apa yang berlaku dalam hidup kita, Ianya bagus dan ubat buat kita, kerana dengannya kita akan dapat mengenali Allah dengan lebih dekat lagi dengan mengenali sifat makhluk yang lemah yang diciptakan Allah yang terdapat pelbagai ragam kelemahan seperti orang yang mengkhianati kamu.

Benar. Apa yang telah Allah tetapkan buat kamu sebenarnya telah ditetapkan berlaku sejak azali lagi yang dalam ilmu akidah disebut ‘tanjizi qodim.’ Cuma baru sekarang Allah luluskan takdirnya yang di sebut ‘tanjiz hadis’. Perkara yang tidak boleh berubah yang telah Allah tetapkan buat diri kamu bahawa pada saat sekian dan sekian kamu akan ditinggalkan.

So … mungkin asbab ini takdir yang akan Allah berikan pada kamu akan lebih baik lagi dimasa mendatang! Kita tidak tahu. Tetapi hikmahnya tetap ada. Mungkin waktu akan datang kamu akan ditemukan dengan seseorang yang lebih baik lagi. Jadi berbaik sangkalah dengan Allah. Banyak kan berdoa dan bertawajjuh pada Allah.

Justeru, anggaplah orang yang mengkhianati kamu itu sebuah ujan buat kamu untuk Allah menambahkan pengalaman kamu dan untuk menguatkan jantung hati kamu.

Bagusnya nya tetap ada kerana jika dia mengkhianati kamu selepas kamu bersamanya sudah pasti ianya bertambah parah lagi.

Kawan …

Cuba kamu pandang sekarang, dulu waktu kamu mengharap dan bersamanya apakah kamu akrab dengan Allah? Malah mungkin saat itu untuk ingat Allah pun kamu tak mampu. Tetapi kini, apabila ia menimpa kamu, mungkin daya ingatan kamu pada Allah tidak putus putus sehingga tasbih yang kamu pegang pun tidak sedar putusnya kamu berzikir kerana inginkan ketenangan dan membujuk hati.

Itulah sifat kita makhluk yang lemah ini. Itulah bagusnya. Dan itulah petandanya kamu disayangi Allah.

Selalunya manusia, saat gembira dia lupa pada Allah. Kalau ingat pun tidak sekhusyuk waktu dia ditimpa musibah. Itulah cara Allah memanjakan kamu.

Jadi, tanamkan dalam diri bahawa apa yang berlaku adalah kehendak atau iradah Allah. Dan kamu pasti tidak boleh mengubahnya.

So … sekarang pandang kedepan dan teruskan hidup dan jangan toleh pada nostalgia yang telah berlaku nanti kamu akan terus terluka dan mudah untuk syaitan menyusahkan perasaan kamu.

Fikir dengan iman dan dengan akal yang waras dan jangan dengan emosi.

Cinta ini sifatnya makhluk. Ianya lemah. Ia boleh datang dan pergi dalam hidup kita kecuali cinta yang disandarkan pada khalik yaitu Allah.

Biarkan cinta lama itu pergi dengan wajah yang zalim dan carilah cinta baru kamu yang benar benar berwajah syurga yang akan menyejukan hidup dunia mu dan meneduhkan hidup akhiratmu.

Aku doakan kamu akan terus menghadapi hari mendatang dengan jiwa yang positif dan dengan tawakkal yang jazam pada Allah rabbul jalil.

Banyak kan senyum kerana ia akan mencerahkan jiwa kamu secerah mentari.

Selamat malam.

Ahukum fillah

#muharrikdaie
080218

Cintaku masih bermukim disini

Entah kenapa malam ini cintaku hinggap di musolla wordpress ini.Tidak sangka juga denyut jemari ku masih mampu untuk mengetuk sepatah dua dipadding komputer ini untuk  menulis. Sedangkan aku sudah lama melupakan blog ini yang telah melalui lorong waktu yang panjang yang telah menjadi sebagian dari zaman muda ku dahulu setelah Iphone 4 hinggalah Iphone 8 mengambil alih kehidupan menulis aku sejak aku tinggalkan blackberry!

Aku sudah melupakan blog ini sepertimana aku melupakan blackberry dan simcard nya yang telah mencatat dosa pahala aku menulis dan mencatat cerita cinta dan cerita dakwah ku yang pernah menjadi asam garam yang pelbagai rasa membaluti hidup aku.

Aku senyum sendirian melihat tulisan aku terdahulu. Ada yang menyentuh hati. Ada juga yang mengelikan hati. Ada juga  yang menyedihkan bilamana menguraikan jalinan cerita yang telah memenuhi mimpi mimpi burukku dulu. Malah saat ini aku masih terbayang sebuah cinta yang tidak menyatu kerana sebuah ketaksuban dan ego yang tidak terkawal.

Kembali aku bertanya, “Kenapakah ketaksuban itu menerjah saat cinta itu hadir?”

Saat itu aku tidak mampu berkata! Aku beku dan kaku. Gelap mengelilingi aku. Sehingga saat itu jiwaku kegersangan sehingga tidak memiliki keberartian lagi. Sehingga bertahun aku membendung kenyataan yang harus aku terima.

Aku akui sebelumnya aku telah dimalukan dengan cinta, lalu kisah itu membuatkan aku malu untuk meminta cinta lagi. Hingga kini.

Waktu dulu telah berlalu. Waktu kini harus ku lalui. Aku tetap seperti dulu. Dalam sepi. Cuma suara hatiku saja ku hamparkan pada langit tinggi keabadian merayu sebuah kebahgiaan. Bukan hanya pada ku tapi pada bunga itu juga yang telah layu ditinggal bejana air yang pernah menyiraminya.

Sesungguhnya, bila takdir itu datang biarpun berpuluh relong doa menyuara jerit hati yang meronta namun tidak dapat menahan takdir yang kuasa.

Memang, janji dan cinta telah banyak melahirkan kata. Tapi tidak semua kata akan membahgiakan kita. Bersabarlah dalam menerima.

Kehidupan ini pasti terguris.

*muharrikdaie

 

Jangan putus asa

Aku rasalah. Orang yang terbaca posting aku pasti bosan. Asyik cerita dakwahhhhhhh jer.Cerita lain tak ada ke? Cerita lain ada cuma bagi aku cerita lain tak membuahkan amal. Asyahid Albanna pun cerita dakwah saja hingga akhir hayatnya. Tapi, setelah syahidnya. Cerita dakwah terus bersambung. Dan aku salah seorang penyambung ceritanya.

Akhi, setiap satu amal yang ikhlas kita buat, ia bukan mengurangkan amal malah Allah bukak kan banyak lagi pintu amal utk kita bekerja. Mana mungkin akan tamat cerita dakwah!
Orang yang fokus pada dakwah tahulah betapa banyak nya kerja dari masa yang mereka ada. Itu belum lagi beban harian, menguruskan hal pejabat dan hal social yang lain. Kalau yang dah kawin dan punya anak lagi lah tensionnya. Yang student pun terkadang surrender dengan dakwah, inikan pula yang dah kawin. Panjangkan?
Oleh itu jangan risau dengan kelemahan kerana faktor futur dan lemah perkara biasa kerana kita manusia dan bukan malaikat. Tapi biarlah kefuturan kita itu bukan sebab dosa tapi sebab selain dosa. Mungkin letih dan cemuih! Berehatlah sebentar melepas lelah. Janganlah pulak sampai kita letih berehat.
Akhi, bersabarlah. Seperti yang selalu murabbi kita ulang ulangkan bahawa dakwah ini bagai larian maraton. Nafas panjang amatlah diperlukan. Jangan sesekali habis nafas ditengah jalan.
Jalan dakwah jugak adalah seperti titisan air. Ia akan membelah batu tapi bukan sehari dua kerana ia memakan masa yang lama.Tapi jangan lupa, titisan itu kalau banyak, ia akan menjadi satu dan pasti akan menjadi arus. Dan kemudian menjadi gelombang yang akan memusnahkan jahiliyah. Dan itulah yang diperlukan dakwah.
Begitulah akan terjadi pada kita kalau semuanya bersabar dan terus bekerja. Satu hari pasti kita akan bertemu dalam satu matlamat dan menjadi kuat.
Muga menfaat buat hamasah antum terutama bagi yang lemah didalam dakwah.
#muharrikdaie

sepintas tarbiyah

Ikhwanis,

Seorang daie yang lengkap dan sempurna tarbiyahnya. Ia tidak hanya seronok dan ghairah membuat kerja kerja kebajikan semata atau hanya sibuk bermain dengan isu politik yang penuh dengan persepsi dan permusuhan yang tiada kesudahan itu tetapi ia menjadi sosok yang memberi petunjuk!

Menerangi jalan orang yang gelap dan bingung. Mengajak berjalan orang berhenti dan kefuturan. Memanggil orang yang berpaling. Menarik kembali orang yang mundur dan menguatkan orang yang lemah!
Itulah yang sepatutnya wujud pada diri kita ini yang telah berlama didalam tarbiyah. Dan bukan berkerja diluar cakrawala petunjuk Allah dan rasul serta bergelumang isu isu yang tidak membuahkan amal!
Semuga kita dapat menjadi daie yang Allah sebut, ” Dan kami jadikan antara mereka itu pemimpin pemimpin yang memberi petunjuk dengan perintah Kami ketika mereka sabar. Dan adalah mereka meyakini ayat ayat kami [32:24]
Muga bermenfaat buat aku dan kamu.
muharrikdaie

Dosa

Ikhwanis …Sepertimana kita menemui makanan dan minuman sehari hari, begitulah juga dosa! Kita akan temuinya hari hari. Tidak kira dimasjid mahu mahu pun diluar masjid!

Terkadang ditempat kerja, kita tertanya pada diri sendiri, “kenapa ek orang sentiasa tidak berpuas hati dengan aku sedangkan aku telah beri cukup servis dan layanan terbaik buat mereka!” 
Terkadang di kolej bila lecturer mengajar, kita geram sangat kerana tak dapat hadam apa yang dia ajar malah tak puas hati cara dia mengajar.
Terkadang dalam bisnes, ada lagi orang tipu kita sedangkan kita bisnes ikut syariah compliance dan tak pernah tipu orang. Malah kita bertolak ansur lagi dan ambik untung yang amat minimum.
Sebenarnya kita terlupa. Disaat kita ditimpa pelbagai musibah dan bala itu rupanya kita dilingkari dosa yang belum diampun. 
Kita tak sedar kita berdosa. Dan itulah cara seni Allah menegur kita. Di timpanya musibah dan bala supaya kita dapat rewind kembali akan dosa kita. Dan mohon ampun dariNya. 
Sebab itu kita tidak boleh perkecil kan dosa sekali pun tersangat kecil. 
Sebagai ikhwanis yang membawa risalah ini sepatutnya kita sentiasa bernaluri gelisah terhadap dosa sepertimana gelisahnya burung yang ingin dimasukan kedalam sangkar.
Seringlah istighfar.
Ingatlah! Allah taala jika berkehendak kebaikan terhadap hambanya maka menjadikan dosa-dosanya terbayang di ruang matanya dan jika menghendaki binasanya maka dilupakan akan dosanya, jangan sesekali melihat kecilnya dosa, tetapi perhatikan kepada siapakah kamu berdosa.
Muga bermenfaat buat diri aku dan kamu.
Barakallahu fikum

Kamu baru bermula

Terkadang berbagai kepelikan berlaku di jalan dakwah ini terhadap diri kita. Apa yang kita tidak sangka dan jangka terus berlaku dalam hidup kita.

Dulu kita rasa kita hanya lah seorang penulis picisan dan tidak termimpi pun untuk menjadi penulis hebat tapi akhirnya kita menjadi figur yang dikenali masyarakat.

Dulu kita ingat kita hanya berangan angan untuk membuka kedai kecil dan peniaga ditepi jalan tapi akhirnya kita menjadi entrepreneur yang berjaya dan bergaya hingga boleh mampu meningkatkan perniagaan kita.

Dulu kita ingat, kita tidak boleh pergi jauh dalam pelajaran tapi akhirnya kita boleh berjaya dalam kerja dan kerjaya hingga memiliki jawatan dan masa depan yang cerah dalam kehidupan.

Pernahkah kita termimpi itu sejak dulu? Sejak zaman persekolahan kita? Sejak zaman kita study diKolej dan universiti? Pernahkan? Dan kenyataannya adalah hari ini!

Sebenarnya kejayaan itu bukanlah kerana kita hebat. Bukan kerana kita berkemampuan. Bukan kerana kita cerdik dan bijak. Kita sendiri tahu diri kita. Tapi adalah kerana kita bersungguh dijalan dakwah ini.

Jalan dakwahlah yang banyak mengubah diri kita. Jerih payah dijalan dakwah inilah yang banyak mengubah hidup kita. Allah beri keberkatan itu pada kita kerana kita tolong agama Allah. Itulah karomah yang Allah beri pada orang orang yang ikhlas di jalan dakwah ini.

Mereka membeli agama Allah dengan kesungguhan dakwah sejak muda, sejak belajar dan sejak bersusah susah dahulu dan Allah melimpahkan mereka dengan kejayaan, kekayaan dan menjadi figur terbaik buat ummah.
Kamu berhak untuk itu ikhwahku. Kamu berhak untuk itu akhwatku.

Itulah natijah pengorbanan kamu dijalan dakwah ini. Tetapi ingat, jalan dakwah ini panjang. Jangan sesekali kamu lalai dan beralih arah. Kerana natijah kehidupan manusia ini adalah pengakhiran hidupnya sedangkan kamu baru bermula!

muharrikdaie